28.10.09

MUJAHADAH CINTA


Semester akhir bakal tiba kepenghujung
Alhamdulillah segala tugasan sudah selesai
Tetapi tugasan dakwah masih tertangguh
InsyaAllah kumohon doa mereka
Dilembutkan hati yang keras
Dan sesungguhnya hati itu milik Allah
Bisa lembut tiba-tiba dan bila-bila masa
Boleh jadi hati itu lebih kental dan berjiwa pahlawan
Berdoa dan teruskan berdoa
Dimudahkan segala urusan dakwah.

Hati ini diruntun rindu
Adik-adik yang sentiasa menyokong
Di mana ketika sahabat memandang serong
Kekuatanku ketika itu berada dengan mereka
Disandarkan segalanya kepada Allah
Dan mereka kini malah lebih hebat tarbiyyahnya
Moga dapat diaplikasi dengan berkesan
Dan terkesan di hati-hati mad’unya.

Dikala dakwah kian bersemarak
Hadir tiga butir permata yang ingin menyinar
Tetapi yang benar-benar mahu bersinar hanyalah sebutir
Hadirnya tarbiyyah
Dia berusaha sedayanya membuang karat-karat jahiliyyah
Dia mencari Allah semampunya
Hatinya yang sejahtera bersama aqidah dan iman yang mantap
Membuatkannya berani mengubah penampilan
Penuh ciri-ciri muslimah solehah
Kerana yakinnya akan suruhan Allah
Akhirnya muncul seorang lagi akhowat sejati
Yang kilauannya bisa mengundang segan sang kumbang.

Sebagai manusia biasa
Iman itu bisa naik dan bisa juga turun
Futur yang hendaknya masih dibatasi sunnah
Dan dia dalam ujian remaja
Kerana dia juga gadis dan manusia biasa
Masih bermujahadah dan perlu memperbaharui iman
Dari masa ke semasa
Dan kuyakin pasti dirinya bisa menang
Dalam pertarungan mendidik nafsu
Dan menjauhi larangan Tuhan
Kerana seorang akhowat itu perlu kuat
Melawan segala kemahuan duniawi
Menghalau pergi segala rontaan perasaan
Tidak mudah berkecil hati, marah dan sebagainya
Dan yang terpenting
Maruahnya tidak mudah diinjak-injak!
Sebagaimana marahya dia apabila Islam diinjak-injak!

Wahai akhowat!
Masa remaja adalah singkat
Masa yang sangat begitu menguji ketahananmu
Mujahadah melawan tipu daya dunia yang hina
Andai kamu bisa mengalahkan nafsu yang satu ini
Kamu telah bebas dari banyak belenggu dosa
Kamu sudah mampu mendidik nafsu yang degil
Kamu sudah menang dalam pertarungan mengakis jahiliyyahmu
Bebas dari perlakuan yang dimurkai Allah
Zina contohnya
Dan zina itu bukan sahaja lahiriah
Bahkan yang paling tersorak iaitu batiniah.

Akhowat!
Bangunkanlah hati-hatimu
Yang pasti meronta-ronta
Mahu menyayangi dan disayangi
Melihat ramai kawan-kawan sudah punya pasangan
Dilihatnya mereka begitu bahagia
Umpama belangkas yang tidak mampu dipisahkan
Disamping sogokan novel yang khayal
Filem-filem cinta yang menipu daya
Semuanya punya elemen cinta yang mempersona
Kamu mula terleka dan panjang angan-angan.

Ketahuilah!
Tanamkan jauh di dasar hatimu
Kita adalah akhowat!
Dan akhowat berbeza dengan yang awam
Kenapa?
Kerana kita sudah ditarbiyyah
Kita sudah faham akan tarbiyyah
Dan yang terpenting
Mujahadah kita adalah kerana Allah.

Wahai akhowat!
Jangan dirisau akan jodohmu
Kelak ianya akan tiba juga
Cepat atau lambat
Ada atau tiada
Dan sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui
Kerana Allah Maha Hebat PerancanganNya
Letakkan sepenuh kepercayaanmu kepada Allah
Jangan berburuk sangka kepadaNya.

Akhowat-akhowat!
Ketahuilah alam remaja adalah sebentar cuma
Medan mujahadah melawan nafsu yang bengkok
Medan yang memerlukan mujahadah yang bukan sedikit
Dan ini hanyalah ujian-ujian kecil sahaja
Mengukur tahap keimananmu
Tahap tawakkalnya kamu
Dan andai ujian perasaan sekecil ini
Tidak mampu kamu tandingi
Mampukah kita berhadapan denganNya kelak?
Entah esok atau sekarang
Andai kamu bisa keluar dengan aqidah sejahtera
Kamu telah berjaya melawan hasutan demi hasutan laknatullah
Kamu telah berjaya mendidik nafsumu.

Wahai akhowat sekalian!
Bebaskanlah dirimu dari jahiliyyah yang satu ini
Kerana jahiliyyah ini permulaan dosa-dosa besar
Leraikanlah belenggu jahiliyyah ini
Buang pergi jauh dari hati
Letakkan Allah penuh di dalam hatimu
Dan Allah pasti membantumu
Selamat bermujahadah!

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barang siapa mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya dia (syaitan) menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar. Kalau bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu, nescaya tidak seorang pun di antara kamu bersih (dari perbuatan yang keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui. (24:21)

No comments: