7.2.15

CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA (2) | DUNIA SEBENAR

Sesetengah orang menganggap bahawa perbuatan tidak bergaul membantu pendidikan yang betul untuk memelihara anak daripada berbagai-bagai musuh akhlak yang merosakkan mereka. Tapi sebenarnya ketertutupan ini tidak menghasilkan peribadi yang stabil dan sulit untuk membangunkan mental sosial di mana seseorang boleh hidup di tengah-tengah masyarakat dan bekerja dengan tulus.

Ya, memang boleh sahaja model pendidikan seperti itu menghasilkan peribadi yang berjaya secara sosial, dalam erti berjaya berinterksi memberi pengaruh kepada masyarakat. Sementara mengenai musuh moral, kewajipan kita adalah memantaunya terlebih dahulu dan apabila ada kes baharu, kita mengajukan penyelesaian yang harus dilakukan, dan mengambil sejumlah langkah pencegahan yang cukup. [Cinta di Rumah Hassan Al-Banna, muka surat 43]

Sedikit sebanyak, pemikiran As-Syahid Imam Hassan Al-Banna merubah persepsi saya selama ini. Keperluan untuk tidak meninggalkan ummah yang sedang menderita masalah sosial yang sungguh luar biasa. Kes-kes dari sumber sahih, terlalu banyak para remaja yang ketempangan arah kesan daripada sistem manusia yang sekular sedangkan usaha daripada tenaga insan yang faham untuk memberi kesedaran tidak mencukupi.

Sehingga kini, kami masih tiada jawapan kemana arahnya anak-anak kami. Semuanya tidak selamat. Sekolah bukan tempat yang selamat untuk pembentukkan insan. Ianya seperti sistem penternakan yang hanya mementingkan hasil atau produk tanpa menekankan aspek kerohanian. Contohnya, masih tiada usaha untuk meletakkan waktu solat Zohor dan Asar dalam jadual waktu anak-anak yang bersekolah di sesi petang. Sedangkan mereka sudah berusia 7 dan 8 tahun.

Saya sendiri pada mulanya membayangkan, sungguh kasihan anak-anak saya jika dibiarkan di sekolah tanpa tiada siapa yang peduli dan mengingatkan mereka akan waktu solat sedangkan di rumah, kami telah berusaha membina insan-insan yang taat dengan solat berjemaah dan di awal waktu. Perlukah kami mengorbankan disiplin kebergantungan kepada Allah ini dengan menghantar mereka ke sekolah bersistem hari ini?

HATI.

Seperkara yang perlu kami ingat dan sentiasa mengingatkan diri, apa pun yang kami usahakan untuk anak-anak hari ini, hati-hati mereka adalah milik Allah yang mana ibu bapa tidak layak, tidak mampu pegang sama sekali. Hanya Allah yang memegang hati-hati anak-anak kita. Maka, hanya Allah selayaknya kami memohon, merayu, meminta agar hati anak-anak kami, anak-anak TTM kami, anak-anak kita, Allah pelihara daripada sekalian benda yang merosakkan.

Menurut Al-Banna, persekitaran bahkan sekolah, boleh sahaja merosakkan apa yang sudah ditanamkan ibu bapa di rumah. Maka, kewajipan ibu bapa adalah tidak membiarkan nilai-nilai yang telah tertanam dalam diri anak-anak hancur oleh gelombang materialistik atau pun gaya hidup yang tidak selari dengan kehendak agama.

Sebagai seorang ibu, kita hanya ada doa dan usaha menanamkan keteguhan aqidah sehingga anak-anak kita keluar dengan keterlibatan yang bijaksana yang mana mereka tidak terbias dengan suasana. Malah, doalah supaya suasana terbias dengan mereka yang mana mereka mampu berninteraksi sewajarnya dengan masyarakat. Dunia hari ini menampakkan yang betul akan sentiasa salah dan yang salah itu, betul. 


Bayangkan dalam suasana sekolah yang ketika azan Zohor dan Asar, mereka murid-murid yang bersekolah petang dalam usia 7-8 tahuan, hanya akan diam apabila disuruh senyap oleh guru untuk menghormati azan yang sedang berkumandang. Sedang azan berkumandang, datang seorang anak yang telah dibina Allah ketaatan kepada Tuhannya yang bukan sedikit, bangun dan meminta izin untuk menunaikan hak Tuhan semesta alam.

Wahai guru, tiada ketakutan yang lebih saya takuti selain melambatkan hak Tuhanku kerana sibuknya aku akan urusan dunia. Sama ada guru izinkan atau tidak, hanya Allah yang menjadi keutamaanku!

InshaAllah akan kembali 'Islam' keseluruhan orang Islam dalam sekolah bahkan masyarakat hari ini dengan membina ramai lagi As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

No comments: