14.3.15

UJUB & RIYAK ITU HALUS

Usrah semalam.

Sebelum bergerak ke tempat yang dipersetujui kami, zauji sempat menyampaikan isi kuliah subuh yang didengarnya pagi semalam berkenaan ujub dan riya'. Soalannya kepada saya, pernahkah terlintas di hati ketika melihat cermin, 'cantiknya aku', 'cantik juga aku ini' dan pelbagai dialog berkenaan 'cantik'. Terdetik sedikit dengan mengatakan diri cantik, itu dipanggil ujub dan ujub ini menghampiri riya'.

Sebab itu menurut zauji, memuji seseorang itu boleh jadi bahaya kerana pujian ini boleh jadi dua. Pertama, boleh mendekatkan lagi seseorang kepada Allah yang Maha Cantik atau semakin merasa besar diri. Padanya, sebab itu, elakkanlah untuk memuji keterlaluan kerana boleh jadi asbab pujian kita, seseorang yang dipuji hilang arah tujuan.

Suka saya selitkan suatu kuliah yang saya tonton bersama emak di televisyen rumahnya berkenaan bab tabbarruj yang luas. Dahulu, tabarruj pada saya apabila berlebihan untuk kelihatan cantik dan menarik perhatian orang lain. Rupanya tabbaruj ini sangat luas.

Contoh yang al-ustaz bawakan, suami panaskan enjin kereta, isteri sedang bersiap. Enjin sudah panas dan hati suami pun sudah panas, isteri masih belum keluar. Rupanya sedang membetulkan awning tudung. Ini juga dikira tabarruj. Berlebihan untuk kelihatan cantik, menawan di mata orang. Begitu juga pakaian. Padanya, kemampuan kita membeli dan memakai pakaian yang belum tentu boleh dibeli orang miskin juga adalah sebahagian tabbarruj.

Allahu!

Seronok juga dikongsikan kuliah seorang ustaz tersohor berkenaan berlebihan dalam dunia cyber. Kadangkala kita tidak perasaan apa yang kita upload pelbagai gambar menyebabkan orang lain yang tidak berkemampuan, orang lain yang Allah tidak memberi kesempatan merasai kebahagian itu, terpaksa melalui perasaan yang pelbagai. Sebenarnya, apa yang sedang kita buktikan?

Nangis.

Dalam usrah semalam, kami belajar berkenaan huraian hadis berkenaan bab Al-Adab. Antara dosa-dosa besar yang paling besar yang salah satunya adalah 'bercakap dusta dan penyaksian dusta'. Ianya juga ada berkaitan tazkirah ringkas zauji sebelum saya bertolak untuk berbulatan gembira. Ikatan roh mungkin menjadi asbab fikrah yang sama. Juga berkaitan riyak.

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: Tidakkah kamu mahu saya memberitahu kamu tentang dosa-dosa besar yang paling besar? Baginda SAW mengulanginya sebanyak 3 kali. Kami pun berkata 'ya, beritahulah kami wahai Rasulullah'. Baginda SAW bersabda: 
1. iaitu menyekutukan sesuatu dengan Allah
2. menderhakai ibu bapa.
Pada asalnya, Baginda SAW sedang bersandar, lalu Baginda SAW duduk dan bersandar, ketahuilah, begitu juga
3. bercakap dusta dan bersaksi dusta.
Baginda SAW terus menerus berkata demikian sehingga saya berkata: Baginda SAW tidak akan diam.
[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Contoh perbuatan dusta adalah seperti perbuatan baik yang dilakukan oleh orang yang riyak dan orang munafik. Ianya sangat halus. Ekoran daripada tindakan ini, pelbagai keburukan yang timbul daripadanya. Allahu, kita manusia apa sahaja makanan kita selain nasi. Makanan biasa kita selain nasi adalah memakan daging rakan-rakan kita sendiri. Umpat dan keji umpama makanan ruji harian yang menggemukkan. Bagaimanakah kita mahu mencari mereka di mahsyar sana atas segala tomahan, tuduhan, umpatan berantaian tidak berkesudahan? Allah! Allah! Allahu!

Antara isu lain yang ditimbulkan dalam usrah kali ini adalah, berkenaan cara atau kaedah paling berkesan untuk menyantuni hati-hati berkenaan bab aqidah, sama ada anak-anak murid dan rakan-rakan sekerja yang mana ianya adalah proses rumit untuk berada di tengah-tengah kelompok manusia yang tidak melalui fasa tarbiyyah atau tidak sefikrah (tidak sepemikiran). InshaAllah ada jawapan yang menarik dan terkesan di hati oleh seorang adik-beradik usrah kami.

Juga, apakah status seseorang yang berada dalam kumpulan Whatsup dan seumpamanya, yang banyak berbincang perkara langho, fitnah, umpat dan keji tetapi hanya diam dan membaca sahaja pelbagai perkara yang ditimbulkan dalam kumpulan tersebut?

InshaAllah ramai yang pastinya tahu jawapannya dan saya bukan seorang yang berkelayakkan dalam bidang agama. Hanya sekadar menghadiri usrah dan mendengar serta membaca kuliah-kuliah agama tetapi punya cita dan impian yang besar iaitu meraih redha untuk ke syurga Allah secara berjemaah dengan kalian semua.

No comments: