14.8.17

Salam.

Assalamualaikum.
Waalaikumussalam.

Kami saling bertukar senyuman. Salam yang diucapkan dahulu oleh seorang tukang sapu yang baru berkhidmat  penuh hormat. Ada segan menebal dalam diri. Terus teringat sabda Nabi SAW berkenaan kelebihan memberi salam dahulu. Paling menggerunkan berkenaan akan datang satu zaman yang mana salam hanya diberikan pada orang yang dikenali sahaja.

Pendidikan dari langit untuk diri sendiri yang masih berat mulut melalui seorang tukang sapu. Personaliti sejak azali yang perlu ditingkatkan untuk rebut pahala-pahala sunnah tanda sayang, ingat akan Baginda SAW. Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".

12.8.17

Kisah 5.40 pagi.

Mata terus bulat apabila melihat jam telefon tangan menunjukkan angka 5.40 pagi. Terus melompat dari katil kejut semua penghuni rumah. Mereka perlu disiapkan untuk berjemaah Subuh di surau. Orang lama kata, melentur buluh biar dari rebungnya.

Kelam kabut seisi rumah. Subuh pula berbaki 8 minit lagi. Berdentam dentum 2 bilik air bunyi air. Anak-anak sudah bersedia ke surau dengan wangi-wangian mereka. Sepatutnya sudah pun azan.

Mata melirik ke jam dinding. Sekali pandang. Kali kedua pandang. Kali ini pakej bangun menghadap jam dan sahkan sekali lagi pada jam dalam telefon tangan. Allah. Baru pukul 5 pagi rupanya.

Ingatkan terkena kencing syaitan!

Dalam pada menyiapkan isi rumah, fikiran menerawang kejadian-kejadian sebelum tidur mana-mana yang boleh buat Allah murka dan beri peringatan sehingga tersedar lewat. Manalah tahu tangan lebih ligat 'scroll' telefon tangan daripada racik tasbih untuk zikir. Maksiat-maksiat dihujung jari yang membelenggu hati, mata dan fikiran.

Alhamdulillah atas cerita kelakar di pagi hari hujung minggu ini. Allah bangunkan semua orang di awal waktu bukan suka-suka. Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".

11.8.17

Budak lelaki 7 tahun.

Sudah seminggu berlalu. Namun, pemandangan itu masih belum hilang dari ingatan. Masih kuat mempengaruhi jiwa seorang ibu.

Lampu isyarat bertukar merah. Bertafakur seisi kereta memerhati keluar tingkap. Dari dekat kelihatan seorang lelaki tua bertongkat bersama seorang budak lelaki kecil yang cukup dikenali mengheret permainan terpakai. Mungkin terjumpa ditepi jalan kerana dibuang orang.

Budak lelaki itu berusia 7 tahun. Sama seperti anakku. Kebiasaannya 5 hari seminggu kami bersua muka. Comot dan sentiasa tidak membawa alatulis. Buku juga entah ke mana. Tiada wang yang dibawa tetapi mujur ada bantuan makanan untuk murid miskin. Salasilah keluarganya yang bercelaru menjadikan anak ini begitulah seadanya. Hidup perlu berjuang. Hanya menumpang kasih orang yang sudi.

Pelbagai soalan tanpa jawapan. Bagaimana peranan kita untuk membantu golongan sebegini? Bagaimana cara terbaik untuk diberikan kesedaran hidup beragama? Kerana hanya iman dan islam yang mampu menjadikan hidup ini penuh makna.

Aku pandang satu persatu wajah anak-anak yang masih dua itu. Masih terurus. Masih rapi terjaga. Malah hampir 24 jam di depan mata. Mudah-mudahan sentiasa terpelihara iman dan islam mereka. Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".

4.8.17

Puteri yang berkat.

Doaku diangkat
Demimu puteri yang berkat
Tinggal satu lagi hajat
Segeralah perkenan munajat.

10.45 pagi 11 Zulkaedah 1438 Hijrah
Jumaat 4 Ogos 2017 dipermudah
Hari ini dalam sejarah
Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".

1.8.17

Nikmat sakit.

Jarang jumpa sakit kepala yang pembuluh darahnya bagai mahu pecah. Alhamdulillah mujur Allah kurniakan roomate yang merupakan antara nikmat terbesar selepas iman dan islam.

Dalam pada sakit tetap rasa betapa beruntungnya aku. Masih ada orang yang mahu hadap tengok setiap hari dan kongsi cerita tanpa ada rahsia walaupun tidak secantik mana.

Sedangkan sekeliling kita, kawan-kawan, saudara-mara kita sedang bercakaran dalam rumahtangga dan malangnya ada yang retak menanti belah dan ada pula kembali mencari cinta walaupun telah ada yang perlu dicintai dirumah.

Manusia fitrahnya memang memerlukan berlawanan jantina. Sebab itu adanya rumahtangga. Ianya jadi tercemar apabila tapak binaannya tidak didasari iman dan taqwa sehingga tidak tahu matlamat sebenar sebuah rumahtangga.

Kerana itu juga, kita sentiasa perlu 'upgrade' hati dan minda dengan doa, ilmu dan amal supaya Allah pelihara iman kita dan sentiasa pimpin kita dalam membuat keputusan. Banyakkan sujud dan tadah tangan, minta apa sahaja. Jangan sombong.

Rasa beruntung itu suatu nikmat. Rasa bertuhan itu adalah nikmat terbesar untuk halang kita dari melebihi batas kemanusiaan. Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".